Join Us On Facebook

Please Wait 30 Seconds...!!!Skip

Datin Nor Azlina Redzuan: Belum Ada Zuriat Saya Tidak Tertekan


Datin Nor Azlina Redzuan


Personaliti kecil molek ini tampil begitu ringkas dan bersahaja. Masih seperti dahulu, bijak mengatur kata dengan nada suara lembut. Aura personaliti televisyen masih terpancar pada wajah Datin Nor Azlina Redzuan, 41, yang selesa tidak menonjolkan diri ini. Wanita yang lebih mesra disapa Alin ini begitu sinonim dengan rancangan Majalah 3. Alin membuat keputusan meninggalkan dunia penyiaran selepas mendirikan rumah tangga empat tahun lalu. Namun benar kata orang, jika hati sudah cinta semua indah sahaja.

Kembali sebagai pengacara program televisyen dilakukan semata-mata kerana cintanya dalam dunia penyiaran. Bagi yang merindui celoteh dan gaya bersahaja anak Perlis ini ketika mengacara pasti terubat dengan kemunculannya mengacarakan rancangan dekorasi yang sudah masuk musim ketiga. “Walaupun sudah meninggalkan dunia penyiaran beberapa tahun lalu, jiwa saya masih sama. Saya minat membuat rancangan berbentuk majalah kerana berpeluang menyelami kehidupan masyarakat yang pelbagai bentuk.

Pengunduran saya dalam dunia penyiaran lebih kepada memberi ruang kepada muka baru untuk mengasah bakat mereka. Kemunculan semula saya dalam dunia penyiaran adalah kerana minat. Memang sejak dari dahulu lagi saya meminati dunia hiasan dalaman. Jika saya ditawarkan mengacara rancangan bukan berbentuk hiasan dalaman, pasti saya akan menolak. Saya suka menghias kediaman mengikut cita rasa tersendiri. Bagi saya menghias kediaman perlukan minat dan bukan menunjuk-nunjuk kepada orang. Setiap sudut yang saya susun atur mempunyai cerita yang tersendiri.

Jika saya berkesempatan mengunjungi negara luar dan ada yang menarik hati pasti akan dibawa pulang. Saya juga tidak pernah menjual semula perabot yang telah dibeli. Setiap perabot itu mempunyai nilai estetika yang tersendiri. Tiada istilah trade in bagi saya,” kata Alin yang pernah menjadi penyampai berita televisyen sepanjang penglibatannya dalam dunia penyiaran.


CEBURI BIDANG DEKORASI

Kerjayanya dalam dunia penyiaran kini sampingan sahaja. Alin sedang sibuk melakar perancangan menceburi bidang perniagaan. Jika dahulu minatnya terhadap hiasan dalaman digemburkan hanya dalam kediaman sendiri, kini dia berkongsi cita rasa dengan orang ramai. “Saya bakal melancarkan sebuah kedai dekorasi yang diberi nama Restore & My Little Cafe, sebuah kedai kecil yang menggambarkan diri saya sendiri. Kalau kita melihat kedai-kedai kecil di Eropah, itulah yang mahu saya lakukan.

Saya meminati gaya Vintage, Eropah dan Scandinavia. Kedai kecil ini mempunyai susun atur mengikut cita rasa saya. Jika ada yang mahu membeli barang boleh dan hanya untuk menikmati sahaja pun boleh. Saya juga memberi peluang kepada pelukis muda menonjolkan karya mereka di situ. Kafe saya juga sangat simple kerana hidangan yang bakal disajikan ialah kek mentega dan sebagainya,” jelas Alin tentang perancangan kedainya. Menyelami jiwa wanita yang sangat menepati masa ini dalam menguruskan masa antara keluarga, kerjaya dan perniagaan, sambil tersenyum jawabnya, “Saya bersyukur kerana suami sentiasa menyokong apa-apa yang saya lakukan.

Sebenarnya dia yang mencadangkan saya membuka galeri kerana faham minat saya. Kadang-kadang suami turut menyalurkan pendapat untuk memantapkan lagi apa yang telah saya lakukan. Saya mempunyai masalah yang mungkin ‘menyusahkan’ diri sendiri apabila semua perkara mahu dilakukan sendiri. Bukan tidak percaya orang lain tetapi saya puas apabila setiap sudut hasil sentuhan tangan sendiri,” kata isteri tersayang Datuk Yusof Annuar Yaacob ini. Saat diajukan persoalan tentang kehidupan wanita selepas usia 40, Alin positif dengan setiap yang mendatang dalam hidupnya.

Dia mahu menikmati perjalanan hidup yang lebih tenang dan sempurna. “Saya sekarang hanya memberi tumpuan pada kualiti kehidupan, kesihatan dan melakukan sesuatu yang benar-benar diminati. Dahulu sewaktu bekerja saya berikan segala fokus dan tenaga hanya kepada kerjaya, sekarang ialah masa untuk saya benar-benar menikmati sebuah kehidupan yang lebih tenang. Jangan hidup mengikut kata orang dan hanya uruskan diri sendiri dan keluarga,” jelas anak kepada Datin Maznah Ahmad ini.


TIP CANTIK – Alin

Melihat tutur kata dan gayanya yang lembut, tidak terbayangkan bahawa wanita ini menggemari aktiviti lasak dan tidak boleh duduk diam. Dia mengakui tidak mempunyai rahsia kecantikan yang diamalkan. Hanya mencuci muka dengan betul dan menyapu penyegar dan pelembap mengikut keperluan kulit. Namun Alin amat menitik beratkan kesihatan diri. “Seminggu tiga kali saya menghabiskan masa melakukan senaman yoga atau treadmill. Senaman ini penting untuk pengaliran darah, menguatkan stamina dan penjagaan kesihatan dan kekuatan jiwa.

Selain itu saya juga mengambil beberapa vitamin yang biasa untuk keperluan diri,” ujar Alin. Tidak sunyi kehidupan tanpa cahaya mata, “Saya dan suami tidak meletakkan ia sebagai satu tekanan dalam melayari kehidupan rumah tangga. Saya ada ramai anak buah dan kami cukup rapat. Suasana ini memenuhi ruang kehidupan yang sunyi. Namun tidak dinafi kan, semua pasangan inginkan zuriat tetapi belum lagi rezeki saya dan suami,” jelas Alin dalam nada suara perlahan mengakhiri perbualan kami pada petang itu.
Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment

 
© DoubleSixZer0Se7en All Rights Reserved