HONG KONG - Sepasang suami isteri dijatuhkan hukuman penjara semalam kerana mendera dan memukul orang gaji mereka dari Indonesia.
Amah malang itu didakwa diikat di sebuah kerusi dan dipakaikan dengan lampin orang dewasa ketika pasangan tersebut keluar bercuti selama lima hari ke Thailand. Mangsa mendakwa tidak diberi makanan atau minuman dalam tempoh tersebut.
Tai Chi-wai, 42, seorang jurujual barangan elektrik dipenjara selama tiga tahun dan tiga bulan. Sementara isterinya, Catherine Au Yuk-shan, 41, seorang pembantu di sebuah hospital awam pula dikenakan hukuman penjara selama lima tahun setengah.
Mereka didapati bersalah atas lapan tuduhan mendera dan mendatangkan kecederaan dengan sengaja ke atas Kartika Puspitasari, 30, selama dua tahun sehingga mangsa berjaya melarikan diri pada Oktober 2012.
Kartika juga pernah dipukul menggunakan rantai basikal, selain dicedera menggunakan seterika panas pada muka dan tangan.
Kes terbaharu itu nyata mencalar reputasi Hong Kong yang dikatakan sebagai negara selamat untuk bekerja.
"Keputusan mahkamah dibuat untuk memberi mesej jelas bahawa setiap pekerja dilindungi oleh undang-undang," kata Timbalan Hakim Daerah, So Wai-tak.
Satu kaji selidik yang diadakan oleh Misi untuk Pekerja Asing pada bulan lalu melibatkan 3,000 orang pekerja wanita mendapati 58 peratus daripada mereka menghadapi penderaan verbal. Sementara 18 peratus didera secara fizikal dan enam peratus lagi mengalami penderaan seksual. - Reuters
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment