Ezlynn dan Adam sudah dua tahun mendirikan rumah tangga.
PETALING JAYA: Penyanyi dan pelakon Ezlynn tidak berasa cemburu terhadap suami yang juga pengurusnya, Adam Fahmi apabila lelaki tersebut menguruskan kerjaya lakonan aktres Siti Saleha.
Ezlynn, 31, berkata, dia tidak mempunyai sebarang sebab untuk berperasaan demikian atau mencurigai suaminya kerana hubungan tersebut adalah profesional.
"Itu adalah kerja suami sebagai pengurus artis dan dia profesional dalam tugasnya dan begitu juga dengan Saleha. Saya tidak mempunyai sebarang sebab untuk cemburu," katanya kepada mStar Online.
Ezlynn dan Adam, 35, berkahwin pada 20 November 2011 dalam satu majlis yang berlangsung di Sime Darby Convention Centre, di sini.
Dalam pada itu, Ezlynn berkata, tahun ini dia menyambut Hari Raya di kampung halaman suaminya di Pulau Pinang selama tiga hari sebelum kembali ke Kuala Lumpur.
Siti Saleha
Katanya, selain bertemu sanak saudara dia turut mengambil peluang tersebut untuk bersiar-siar di negeri itu bersama suaminya sebelum kembali bekerja.
"Tahun ini giliran beraya di kampung suami dan Hari Raya ini kami ingin lebih banyak menghabiskan masa bersama berdua dan bersiar-siar di Pulau Pinang," katanya.
Dalam perkembangan lain, Ezlynn berkata, selepas muncul dengan lagu raya ciptaan penyanyi Dina Nazir dia akan kembali ke studio rakaman untuk album penuh.
Dia tidak mahu terburu-buru untuk menyiapkan album tersebut kerana ingin mengkaji terlebih dahulu cita rasa pendengar agar ia dapat diterima dengan meluas.
"Saya mahu buat sesuatu yang boleh meninggalkan kesan kepada pendengar dan peminat sebab itu tidak mahu terburu-buru merakamkan album itu nanti," katanya.
Sumber : http://mstar.com.my
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment