Namun katanya, tawaran menyanyi tidaklah semeriah seperti zaman kegemilangannya pada tahun 1990-an dulu. Wanita yang telah mencecah usia 48 tahun ini tampil anggun berhijab sejak awal tahun yang lalu. Dalam pertemuan dengannya baru-baru ini, Shila rancak bercerita tentang ‘cintanya’ terhadap perniagaan dalam talian yang menjual barangan seperti aksesori untuk pengantin, emas saduran Korea, aksesori hiasan wanita dan aneka biskut yang semakin mendapat tempat di hati para pelanggannya.
Jelas ibu kepada Nurrul Admiena, 28, Nurrul Nadia, 26, Mohd. Daniel Durrany, 19, dan Mohd. Danni Basyishar, 17, ini sepanjang sembilan tahun tidak merakamkan album baru, dia banyak mengisi masanya dalam dunia perniagaan secara talian. Perniagaan yang berteraskan pakaian dan aksesori itu memberi pulangan pendapatan dan mengisi masanya di rumah. “Saya tidak menghilangkan diri daripada dunia hiburan cuma tidak muncul di akhbar dan majalah sahaja. Aktiviti nyanyian, Alhamdulillah masih mendapat jemputan.
Cuma tidak seaktif dahulu kerana saya sibuk menjalankan perniagaan dalam talian,” ujar Shila yang sudi menghiasi kulit muka depan MIDI hadir di studio sambil ditemani dua orang puterinya, Nurrul Admiena, 28 dan Nurrul Nadia, 26 tahun. Jelas Shila lagi, status sebagai suri rumah sepenuh masa memberinya kelebihan untuk menguruskan perniagaan itu biarpun secara kecilkecilan tetapi semakin mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada para pelanggan lebih-lebih lagi apabila tibanya musim perayaan.
“Antara barangan yang saya jual termasuk pelbagai jenis biskut dan aksesori wanita seperti kerongsang. Saya berniaga barangan ini sudah lama tetapi menjualnya secara online sejak tahun lepas. Saya juga menjual barangan perhiasan pengantin yang dibekalkan oleh kawan-kawan saya. Anak sulung saya juga membantu kerana dia berkebolehan mereka perhiasan dan pakaian pengantin.
BAKAL TERIMA MENANTU SULUNG
Dalam sibuk dengan urusan perniagaan dan akan merakamkan album terbaru, Shila turut berkongsi kegembiraan bakal menerima menantu sulung pada penghujung tahun ini. Puteri sulungnya, Nurrul Admiena Norrizan, 28, akan mendirikan rumah tangga pada 15 Disember ini. “Kami sekeluarga amat teruja melakukan persiapan perkahwinan ini. Maklumlah, anak sulung bakal berkahwin. Sudah tentunya sebagai ibu, saya sibuk membuat persiapan bagi mengadakan majlis perkahwinan Nurrul Admiena.
Kebanyakan persiapan seperti membuat pelamin, bilik pengantin dan barangan hantaran saya buat sendiri. Saya buat sedikit demi sedikit supaya majlis perkahwinan itu nanti akan berjalan dengan lancar,” ujar Shila yang ternyata tidak sabar menerima kehadiran menantu sulung dalam keluarganya. “Oleh sebab itu, tumpuan tahun ini lebih terjurus kepada persiapan perkahwinan anak berbanding proses menghasilkan album baru. Tahun ini saya tidak mahu memikirkan soal rakaman album. Saya akan merakamkan album baru pada tahun hadapan selepas selesai kenduri perkahwinan anak saya ini,” ujarnya lagi.
Malah dia amat berharap kelahiran album terbaru itu nanti mampu mengubat hati peminatnya yang pastinya ternanti-nantikan buah tangan terbaru yang bakal meneruskan kesinambungannya dalam bidang nyanyian. Selain minat menyanyi dan mahu meneruskan kerjayanya dalam bidang seni suara, permintaan untuk merakamkan album itu datang daripada para peminatnya. Jelas bekas penyanyi Orkestra Tentera Darat (OTD) itu, ramai peminat yang bertanyakan tentang lagu dan album barunya setiap kali dia mengadakan persembahan pentas terutama sejak kebelakangan ini.
Malah Shila bakal muncul dengan album baru berkonsepkan World Music untuk menambat selera pendengar baru dan peminat sedia ada. Ketika ditanya rahsia mengekalkan kejelitaan pada usia 48 tahun, Shila yang tidak lokek dengan senyuman ini tertawa apabila penulis memuji akan kejelitaan wajahnya. “Saya tidak pernah merahsiakan tentang usia dan petua kekal cantik kepada rakan-rakan yang ingin berkongsi rahsia awet muda. Salah satu amalan ialah mengamalkan pengambilan air putih dan diminum sambil berselawat.
Selain itu, hati haruslah sentiasa bersifat positif dan tidak suka memendamkan perasaan. Saya sentiasa ceria dan menjaga kerukunan rumah tangga bersama suami tersayang dengan ungkapanungkapan sayang dan menjadi pendengar yang setia,” ujar Shila seraya mengakhiri perbualan.
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment