TELEMOVIE Hadiah Dari Syurga melonjak nama Zwan Zahar dalam dunia lakonan.
Zwan Zahar yang dahulunya hanya bekerja kampung nekad meninggalkan keluarga demi mengejar cita-cita di Kuala Lumpur.
"Selepas tamat persekolahan, saya melakukan kerja-kerja kampung selama beberapa tahun. Tetapi, sejak tahun lepas, saya nekad berhijrah ke Kuala Lumpur untuk mengejar impian bergelar pelakon," kata pemilik nama penuh Mohd. Azwan Md. Zahar itu.
Menyedari tiada jalan pintas untuk bergelar anak wayang yang berjaya sementelah tidak mempunyai sebarang pengetahuan dalam bidang itu, Zwan tidak malu untuk bekerja sebagai 'kuli' di belakang tabir.
Daripada sifar pengalaman anak kedua daripada lima beradik itu bertugas sebagai seorang pembancuh minuman dalam beberapa buah produksi sebelum ini.
Namun, dia tidak membuat air untuk kru bertugas semata-mata, sebaliknya Zwan turut membuka mata dan mentafsir selok-belok dunia lakonan.
"Walaupun bergelar budak pembancuh air, saya bertuah kerana berpeluang berada dalam kelompok produksi drama. Ia memberi peluang untuk saya yang tidak tahu apa-apa tentang lakonan untuk belajar.
"Saya tidak belajar secara langsung, tetapi lebih banyak memerhati. Saya cuba ikut apa yang dilakukan oleh seseorang pelakon bila berada di hadapan kamera," katanya.
ZWAN meletakkan sasaran untuk bergelar hero romantis dalam dunia lakonan.
Zwan yang sebelum ini pernah diberikan peranan kecil dalam beberapa naskhah drama dan telemovie seperti Iman Nabila, Adik Kami dan Rebah Taubat mula mengorak langkah memperkenalkan diri saat diberi peranan lebih besar dalam naskhah terbitan Zeel Production berjudul Hadiah Dari Syurga.
"Tidak sangka sebenarnya pihak produksi memberi kepercayaan kepada saya untuk membawa watak seorang mat rempit dalam telemovie itu.
"Saya bukanlah orang yang bersifat sebegitu. Justeru sebagai wajah baharu dalam dunia lakonan, ia memberi cabaran yang sangat besar kepada saya. Pertama kali diberi kepercayaan itu juga turut memberi pengajaran kepada saya bahawa berlakon bukanlah mudah," kata Zwan tentang penglibatannya dalam telemovie yang akan bersiaran mulai 5 November ini pukul 9 malam di TV9.
Membuka bicara tentang masa depannya dalam dunia tersebut, Zwan mempunyai impian agar dikenali sebagai seorang hero romantis. Tidak keterlaluan untuk dia meletakkan sasaran bergelar seorang 'romeo Malaya' pada masa depan sementelah perjalanan karier anak muda itu masih panjang.
"Jika ditanya tentang peristiwa itu, pastinya saya mahu dikenali dengan watak-watak baik. Saya lebih suka kalau diberi peluang untuk memperkenalkan diri kepada penonton dengan naskhah-naskhah yang mempamerkan karakter-karakter seorang pemuda budiman," katanya.
sumber: http://www.kosmo.com.my/kosmo/index.asp
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment