KUALA LUMPUR – Perbelanjaan yang ditanggung kerajaan ke atas pemilikan tujuh jet untuk kegunaan perdana menteri dan Yang di-Pertuan Agong adalah untuk kepentingan negara dan ia tidak perlu dipersoalkan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, semua perbelanjaan ke atas tujuh jet berkenaan adalah bagi memastikan perdana menteri dan Yang di-Pertuan Agong tiba tepat pada masanya di sesuatu tempat dalam melaksanakan tugasnya.
“Ini ialah untuk soal yang berkait dengan kepentingan negara. Perdana Menteri harus sampai ke satu-satu tempat itu tepat pada masanya.
“Cuba bayangkan pukul 2 petang berada di Kuala Lumpur dan pukul 3 petang kena ada di Alor Setar, kemudian pukul 6 petang kena berada di Ipoh. Di sana tiada penerbangan kelas pertama dan kos lebih tinggi jika menyewa kapal terbang komersial,” katanya ketika ditemui pemberita di Lobi Parlimen pada Khamis.
Shahidan yang juga Ahli Parlimen Arau berkata, selain untuk kegunaan dalam negara, jet itu turut digunakan untuk menampung keperluan perdana menteri dan Yang di-Pertuan Agong yang menjalankan tugas rasmi ke luar negara.
“Jika jet ini tidak diselenggara dengan sempurna, ia boleh membawa kepada risiko dan ini melibatkan faktor keselamatan. Jadi ia memerlukan penyelenggaraan,” katanya.
Dalam masa yang sama katanya, kos bagi menyelenggara jet yang digunakan oleh perdana menteri itu adalah ditetapkan oleh syarikat yang dilantik kerajaan.
“Kos ini bukanlah untuk kegunaan peribadi perdana menteri malah ia langsung tiada hubung kait dengan perdana menteri. Perdana Menteri hanya menggunakan salah satu daripada pesawat berkenaan,” katanya.
Terdahulu, Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming yang mengadakan sidang media sebelum itu mengulas jawapan yang dikemukakan oleh Jabatan Perdana Menteri bahawa kerajaan menanggung kos RM86.4 juta untuk menyewa jet bagi lawatan rasmi Najib.
Beliau mempersoalkan jawapan bertulis yang dikemukakan itu menyebut jet berkenaan melibatkan kos RM16.515 juta untuk penyelenggaraan dan RM3.32 juta untuk baik pulih. – Mstar.com.my
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment