PETALING JAYA: Pelakon Lana Nordin menyifatkan isu kononnya dia ditangkap
gara-gara tidak berpuasa dan meminum arak di sebuah pusat siber di Bandar Puteri,
Puchong pada 12 Julai lalu langsung tidak menjejaskan kedudukannya sebagai
seorang selebriti.
Lana atau nama sebenarnya Mazlina Hasan Nordin, 33, berkata, dia sudah lali
dengan pelbagai kontroversi yang dikaitkan dengannya dan menganggap perkara
itu hanyalah perkara kecil.
"Gosip saya ditangkap tidak berpuasa sedikit pun tidak menjejaskan saya dan saya
tak kisah pun apa orang nak kata.
"Sama ada betul atau tidak kesahihan berita itu, saya sudah membuat penjelasan.
Jadi terpulanglah sama ada mereka mahu percaya atau tidak. Kalau saya tegaskan
saya tidak melakukan perkara terkutuk itu, tidak semua yang percayakan saya.
"Lebih baik saya ketepikan perkara itu dan meneruskan kehidupan seperti biasa,"
katanya kepada mStar Online.
Tambah Lana, dia juga sering membuat lawak dengan isu diri ditangkap dengan
teman-temannya kerana menganggap ia satu perkara yang tidak berasas lebih-lebih
lagi dikatakan meminum arak sedangkan dia tidak pernah mengambil minuman keras.
"Diakui, saya seorang yang gemar ke kelab, tetapi tidak pernah menyentuh alkohol
atau dadah. Saya dah biasa orang selalu memberi tafsiran negatif berdasarkan apa
yang mereka lihat secara luaran," ujarnya.
Sementara itu, mengenai perkembangan terbaharunya, Lana bakal muncul menerusi
drama Jodoh Itu Milik Kita yang akan ditayangkan pada setiap Isnin hingga Rabu
pukul 10 malam bermula 19 Ogos depan di saluran 134, Mustika HD.
Bagaimanapun, Lana berasa kesal apabila ramai penerbit menganggap dia sudah
meletakkan harga bayaran yang tinggi sejak dicalon untuk Pelakon Pembantu Terbaik,
Festival Filem Malaysia ke-25 (FFM25) tahun lalu.
"Sejak dicalonkan dalam FFM, saya semakin kurang menerima tawaran lakonan.
Tak faham dibuatnya, saya bukannya menang, tetapi ramai penerbit menganggap
harga saya dah naik.
"Jadi mereka takut untuk mengambil saya berlakon. Sedangkan, harga bayaran
lakonan saya masih lagi macam biasa. Saya harap menerusi kenyataan ini, mereka
tidak salah anggap lagi," tuturnya.