Sila jangan salah tafsir tajuk di atas. Zaidi Omar masih hidup ye. Cuma dia terlibat dengan kemalangan yang menyebabkan seorang pemandu motosikal mati di tempat kejadian. Masa tue Zaidi tengah bawak kereta BMW 5 Series dia kat MRR2 bila tetiba je mangsa datang dari arah bertentangan. Tue yang terlanggar sampai mati tue.
Rupa-rupanya mangsa yang bawak motor tue try taknak kantoi dengan road-block polis. Itu yang dia terjah je pergi jalan sebelah. Malang sememangnya tak berbau bila mangsa melayang kira-kira 15 meter dan terhantuk kepala. Terus mati di tempat kejadian. Mungkin tak pakai helmet kot?
Apa-apa pun takziah buat mangsa dan jugak buat Zaidi Omar. Mesti masih dalam trauma sebab tue bila ada media try nak contact dia tak dapat. Berhati-hatilah semasa memandu kenderaan anda. Lebih-lebih lagi skang nie kalau petang je mesti hujan. Memang membahayakan.
Kalau nak baca berita penuh versi Berita Harian, sila baca artikel ini sepenuhnya.
BERITA HARIAN
KUALA LUMPUR: Seorang penunggang motosikal terbunuh selepas bertembung dengan sebuah kereta jenis BMW dalam satu kemalangan maut di Lebuh raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) berhampiran Bulatan Batu Caves, di sini awal pagi semalam.
Dalam kejadian jam 1.15 pagi itu, Tuan Mohamad Nul Hakim Tuan Long, 21, berasal dari Pangkalan Kubur, Kelantan dikatakan menunggang motosikalnya melawan arus di lorong kanan lebuh raya berkenaan untuk mengelak sekatan polis.
Bagaimanapun, mangsa bertembung kereta dipandu dramatis terkenal, Zaidi Omar, 51, dari arah Kepong menghala Batu Caves, menyebabkannya tercampak kira-kira 15 meter dan mati di tempat kejadian akibat kecederaan teruk di kepala.
Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Bandaraya, Deputi Superintendan Abdullah Roning, ketika dihubungi, mengesahkan perkara itu dan siasatan sedang dibuat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Siasatan awal mendapati pemandu terbabit gagal mengelak motosikal mangsa yang tiba-tiba muncul dari arah bertentangan. Akibat pertembungan itu, mangsa yang tinggal di Sungai Buloh mati di tempat kejadian akibat cedera parah.
“Mayatnya kemudian dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk dibedah siasat sebelum jenazahnya dituntut anggota keluarganya tengah hari tadi untuk dikebumikan,” katanya.
Polis mengesahkan Zaidi membuat laporan berhubung kemalangan itu di Ibu Pejabat Polis Trafik Kuala Lumpur, Jalan Tun HS Lee tidak lama selepas kejadian sebelum ditahan untuk diambil keterangannya bagi membantu siasatan.
Abdullah berkata, pelakon terbabit dibebaskan selepas polis berpuas hati dengan keterangannya tetapi keretanya yang terbabit dalam kemalangan itu masih ditahan sebagai mematuhi prosedur siasatan sebelum dirujuk ke Jabatan Kimia. Sementara itu, Zaidi gagal dihubungi untuk mendapatkan kenyataannya berhubung kejadian itu.
Sumber: beautifulnara
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment