Join Us On Facebook

Please Wait 30 Seconds...!!!Skip

Miera Liyana Mahu Ikut Jejak Ibu Bapa

BIAR PUN pembabitan Miera Liyana sepanjang berlakon pernah dipalit dengan beberapa kontroversi negatif, dia dilihat antara pelakon muda yang begitu berbakat besar.
Bermula dengan bakat lakonannya dikesan menerusi drama bersiri Luna Fantasiku, sehingga kini dia sudah berlakon lebih daripada 20 buah drama bersiri seperti Kamelia Katrina, Psikik dan Nora Elena.

Cuma, kontroversi yang dilaluinya apabila berpenampilan terlalu seksi dalam sebuah majlis serta kisah percintaannya dengan pelakon Shahrizal Jaszle dahulu sedikit merencatkan pemerhatian peminat terhadap perkembangan kerjaya lakonannya.
Bertemu dengan pelakon berkenaan pada majlis pertunjukan fesyen Oriental Rhapsody di The Weld, Kuala Lumpur baru-baru ini, Miera mengakui cukup gembira dengan apa yang dikecapinya sekarang ini.
“Setelah tiga tahun bergelumang dalam bidang lakonan, saya bersyukur kerana mutu lakonan saya bertambah baik, malah tawaran yang diterima tidak putus-putus.
“Saya berterima kasih kepada pihak yang telah memberi peluang dan kepercayaan. Ternyata bidang lakonan ini memberi banyak pengalaman yang berguna kepada diri saya,” luahnya.
Pada saat karier seninya yang semakin berkembang baik serta peluang yang lebih terbuka untuk mencipta nama sebagai pelakon, Miera menyatakan bahawa dia sebenarnya mengambil keputusan untuk mengurangkan aktiviti seninya.
Menegaskan yang dirinya bukanlah merajuk sehingga tidak mahu lagi terbabit dalam bidang hiburan, dia menjelaskan puncanya disebabkan mahu menceburkan diri dalam bidang perniagaan.
“Kalau boleh saya mahu ikut jejak ibu bapa saya yang menceburkan diri dalam bidang perniagaan. Sebenarnya mereka langsung tidak pernah memaksa kerana ia pilihan saya sendiri.
“Sekarang ini saya sudah mula mempelajari selok-belok perniagaan, tetapi tidak tahu lagi untuk memilih bidang yang sesuai. Namun begitu, saya merancang menceburi perniagaan permotoran,” ujarnya.
Ketika ditanya sama ada dia tidak berasa rugi dengan keputusan yang dibuat memandangkan namanya sebagai pelakon semakin mantap, dia seperti sukar untuk menjawab pertanyaan yang diajukan.
“Sejujurnya saya tidak merasakan sebarang kerugian kerana apa yang ingin dilakukan itu adalah untuk jangka masa panjang. Pada usia muda inilah merupakan waktu yang paling sesuai untuk memulakannya.
“Lagipun sampai bila saya hendak berlakon dan saya tidak mungkin akan menceburi dunia lakonan buat selamanya. Bukannya bidang ini tidak menjamin masa depan cerah, tetapi persediaan yang awal harus dilakukan,” tegasnya.
PADA usia 20 tahun, Miera kini mengaku dia telah mengutip banyak pengalaman pahit yang membentuk dirinya menjadi lebih matang.
Selain itu, Miera juga menyatakan dia seboleh-bolehnya tidak mahu mengharapkan sebarang bantuan daripada ibu bapanya, meskipun dia boleh menyertai mana-mana perniagaan yang dijalankan oleh keluarganya.
“Ada yang bertanya kenapa saya tidak meneruskan sahaja salah satu perniagaan yang diusahakan oleh ibu bapa saya. Jawapannya mudah, sudah tentu saya mahu berjaya dengan hasil usaha sendiri.
“Apa yang saya mahukan daripada mereka hanya sekadar bimbingan dan tunjuk ajar mereka memandangkan saya pun tidak belajar tinggi. Biarpun mahu terlibat dalam perniagaan, tetapi dunia lakonan tidak dilupakan dan saya masih sedia menerima sebarang tawaran yang sesuai,” jelasnya.
Rezeki bertambah
Jika sebelum ini Miera pernah dilanda beberapa kontroversi yang telah meninggalkan impak kurang baik terhadap dirinya, kini dia berasa lega kerana keadaan dirinya kini sudah terkawal.
Biarpun ada sesetengah pihak yang beranggapan kontroversi kadangkala mampu memberi kelebihan, dia berpendapat bahawa tanpa dikaitkan dengan sebarang cerita sensasi, seseorang artis itu masih boleh berjaya.
“Mungkin sekarang ini nama saya sudah kurang menjadi sebutan, berbanding semasa dikaitkan dengan beberapa kontroversi dahulu. Namun begitu, saya melihatnya daripada sudut yang positif.
“Antaranya, tawaran berlakon yang diterima sekarang lebih banyak, meskipun tanpa dikaitkan dengan sebarang cerita sensasi. Ia membuktikan penerbit dan pengarah lebih melihat kemampuan seseorang pelakon itu,” ujarnya.
Berasa lebih selesa dengan keadaan yang dilaluinya kini, Miera berharap agar dirinya tidak lagi dipandang sinis oleh peminat agar dia lebih fokus dengan aktiviti yang dilakukannya sekarang.
“Saya tidak kisah kalau nama sudah kurang menjadi sebutan, asalkan terus diberi kepercayaan untuk berlakon. Lagipun sebagai artis yang dilantik menjadi duta produk, pastinya saya perlu menjaga nama baik,” tuturnya.

MIERA terbuka untuk menerima tawaran mengacara.
Mengacara
Selain aktif dalam dunia lakonan, Miera pernah diberi peluang untuk bergelar seorang pengacara apabila bergandingan dengan pelakon Kamal Adli untuk mengacarakan rancangan hiburan Hip TV.
Bagaimanapun, jodoh mereka bersama rancangan tersebut tidak bertahan lama, sehingga ada yang beranggapan bahawa dia dan Kamal telah disingkirkan dan digantikan oleh pengacara lain.
“Perkara ini sudah jelas dan saya tidak pernah disingkirkan daripada Hip TV. Saya tidak lagi mengacara kerana kontrak bersama mereka selama enam bulan sudah tamat.
“Tidak dinafikan ia merupakan satu tempoh yang agak singkat, tetapi terlalu banyak ilmu dan pengalaman yang diperoleh sepanjang bergelar pengacara rancangan tersebut,” jelasnya.
Menurutnya, selepas tidak lagi bersama Hip TV, belum ada sebarang tawaran yang diterima untuk menjadi pengacara. Namun begitu, dia masih berminat mengacara dan sedia menerima sekiranya ada tawaran sesuai.
“Memang jiwa saya lebih terarah kepada bidang lakonan, tetapi saya sudah mula rasa seronok dalam dunia pengacaraan. Kalau ada tawaran lagi saya akan terima, cuma tidaklah terlalu berharap sangat,” ujarnya menutup perbualan – Kosmo Online
Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment

 
© DoubleSixZer0Se7en All Rights Reserved