Kota Kinabalu: Perkenalan singkat ketika berada di dalam kapal terbang akhirnya membawa ke jinjang pelamin buat Naib Juara Akademi Fantasia Kesembilan (AF9) Lenaber Haidir, 23, atau lebih dikenali sebagai Lena AF9, sebaik sah bergelar isteri kepada ahli perniagaan Mohd Adzhar Datu Mohd Akjan, 26, di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu, di sini, semalam.
Pada majlis pernikahan ringkas bermula jam 11.30 pagi yang hanya dihadiri keluarga terdekat, pasangan itu selamat diijabkabulkan dengan sekali lafaz oleh jurunikah Zon Likas Edinin Mujip.
Lena menerima mas kahwin RM100 berserta wang hantaran RM50,000 selain tujuh dulang hantaran berupa cincin, beg tangan, kasut, kek dan sepersalinan baju, manakala pihak perempuan membalas sembilan dulang kepada pihak lelaki.
Lena berkata, pernikahannya bukan dirahsiakan kerana sudah merancang untuk mengadakan majlis resepsi di Telipok dan Likas, esok.
“Majlis resepsi ini akan dihadiri semua saudara-mara, rakan dan peminat saya di Sabah termasuk rakan di Akademi Fantasia dan AF9.
“Jika berkesempatan, saya juga akan mengadakan majlis persandingan di Kuala Lumpur,” katanya. Ketika menceritakan detik pertemuan dengan suaminya, Lena mengakui mula berkenalan dengan insan istimewa itu sejak tiga tahun lalu sebelum mengambil keputusan mendirikan rumah tangga.
“Saya mula mengenalinya ketika bersama-sama dalam penerbangan dari ibu negara ke Kota Kinabalu.
“Bermula dari situ, kami sering berhubung melalui telefon dan menjadi semakin rapat.
“Hari ini, saya wanita paling gembira kerana sah bergelar isteri kepada insan tersayang dan amat bersyukur kerana semuanya berjalan lancar,” katanya.
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment