Saya pelajar sekolah menengah dan bakal menduduki peperiksaan besar tahun ini.
Masalah saya ialah berkenaan ibu.
Dia berlaku curang dengan seorang lelaki yang juga suami orang. Ibu mengenalinya di laman sosial.
Pada mulanya, kecurangan ibu tidak diketahui, tapi saya terbaca catatan mereka yang berbau lucah
Sikap ibu juga semakin berubah kerana sudah mula keluar malam sejak akhir-akhir ini dan bersikap
seperti gadis remaja semula.
Saya sangat tertekan dengan keadaan ini namun saya tidak mahu berkongsi dengan keluarga.
Saya pendam segala masalah ini seorang diri.
Pada masa sama, saya kasihankan ayah yang bekerja bertungkus-lumus untuk keluarga kami.
Malangnya ibu buat perangai. Saya sangat tertekan dan ini mengganggu fokus saya dalam pelajaran.
Saya tidak mahu keluarga terus porak peranda dengan sikap curang ibu. Saya terlalu sedih.
PELAJAR RUNSING,
Pulau Pinang
Dr memahami perasaan yang adik alami. Memang bukan mudah bagi seorang anak apabila
mengetahui ibunya mempunyai hubungan sulit dengan suami orang.
Hubungan anak dengan ibu menjadikan adik lebih tertekan kerana adik masih mahu pola keluarga
yang sedia ada berkekalan. Maksudnya, adik masih lagi mahu melihat hubungan ayah dan ibu
berjalan baik. Adik juga tidak mahu pihak lain masuk dalam ruang lingkup keluarga sedia ada.
Masalah rumah tangga ibu bapa sering kali di luar kawalan anak. Namun, sebagai seorang anak,
perasaan tertekan akan wujud apabila mengetahui kehidupan ibu bapanya tidak harmoni.
Masalah yang dialami menyebabkan adik begitu tertekan sehingga mengganggu fokus di sekolah.
Carilah pihak yang adik percaya untuk bercerita mengenai masalah dan perasaan adik.
Memendam perasaan bukanlah satu cara baik untuk adik menyelesaikan masalah.
Dr faham bukanlah mudah bagi seorang anak untuk berbincang dengan ibu mengenai masalah
yang membabitkan urusan rumah tangganya.
Justeru, adik memerlukan seseorang yang dipercayai ibu untuk berbincang dengannya mengenai
hubungan sulit dengan suami orang.
Jika adik ingin berbincang dengan ibu, pastikan ia dilakukan dengan berhemah kerana Dr tidak
mahu perbincangan adik dengan ibu membawa kepada satu keputusan yang akan dikesali semua pihak kelak.