Join Us On Facebook

Please Wait 30 Seconds...!!!Skip

Tips Keselamatan Menjelang Aidilfitri

Tips Keselamatan

Kemeriahan Syawal semakin dirasai. Kurang dari tiga hari saja lagi, umat Islam di seluruh dunia bakal menyambut hadirnya Aidilfitri. Dalam keghairahan tersebut, jangan pula kita lupakan beberapa aspek keselamatan penting yang bersangkut-paut dengan musim perayaan yang bakal tiba.
1. Keselamatan diri
Bunga api dan mercun telah lama menjadi ancaman kepada keselamatan diri di kala Syawal. Mungkin ada yang menganggap, Syawal kurang meriah tanpa debuman bunga api dan meriam buluh.
Hakikatnya, saban tahun berita kehilangan nyawa dan kecederaan serius yang berpunca dari penggunaan bunga api dan mercun terus kedengaran. Tanda betapa isu ini dipandang enteng oleh sesetengah masyarakat.
Kebanyakkan mangsa terdiri dari golongan kanak-kanak. Jadi, jauhkan bunga api dan mercun dari mereka. Mereka hanya boleh bermain bunga api dengan kehadiran dan seliaan teliti orang yang lebih dewasa.
2. Keselamatan kediaman
Rumah yang ditinggalkan kosong oleh penghuni, sama ada yang pulang ke kampung atau keluar berhari raya, mencipta peluang untuk penjenayah menceroboh masuk.
Untuk mengelak dari berlakunya kejadian tidak diingini, seeloknya sembunyikan barangan-barangan di halaman rumah yang mampu menarik perhatian manusia yang tidak bertanggungjawab, umpamanya basikal ataupun motorsikal. Jika mampu, pasangkan penggera pada pagar atau pintu rumah untuk menarik perhatian orang sekeliling sekiranya ada yang mahu menceroboh kawasan kediaman anda.
Pastikan juga anda menutup suis elektrik utama kediaman anda untuk mengelak perkara tidak diingini seperti litar pintas ataupun bil elektrik yang melambung tinggi bagi mereka yang bercuti lama.
Akhir sekali, maklumkan pada balai polis berdekatan tentang ketiadaan penghuni di kediaman agar pihak berwajib dapat melakukan rondaan berkala di kawasan perumahan anda. Jika ada jiran yang tidak pulang ke kampung, tinggalkanlah pesan tentang keadaan rumah anda yang kosong.
3. Keselamatan di jalan raya
Kadar kemalangan jalan raya dilaporkan mencatat rekod tertinggi saat musim perayaan menjelma. Kenderaan memenuhi lebuhraya menuju ke seluruh pelusuk negara untuk menyambut lebaran bersama yang tercinta.
Ada yang terpaksa memandu hingga enam, tujuh jam, jadi adalah logik untuk memastikan kenderaan anda 100% bersedia untuk menempuh perjalanan panjang tersebut. Periksa kenderaan anda secara menyeluruh bagi memastikan perjalanan balik kampung anda dan keluarga lancar. Jika perlu, hantarlah kenderaan anda ke pusat servis berdekatan.
Pastikan juga anda bersedia secara fizikal dan mental untuk perjalanan lama tersebut. Jadikan perjalanan anda lebih menyeronokkan dengan memasang lagu-lagu perayaan sepanjang perjalanan. Berbuallah bersama pemandu kenderaan bagi mengelakkan perasaan bosan.
Sekiranya kepenatan, berhentilah berehat di pusat rehat dan rawat yang banyak terdapat di sepanjang lebuhraya. Suami dan isteri juga boleh mengamalkan kaedah pemanduan secara bergilir.
Akhir kata, sambutlah Aidilfitri ini dengan keceriaan dalam hati. Jangankan kerana mengabaikan aspek-aspek keselamatan asas di atas Aidilfitri anda disambut dengan duka dan air mata. – Gua.com.my
SMS BALIK KAMPUNG: Maklumkan ketiadaan anda di rumah melalui SMS RakanCop ke:
POLIS[Kod Negeri] BK [Tarikh Bercuti] [Alamat] dan SMS ke 32728
Maklumat lanjut, layari Portal Rasmi RakanCop di www.rakancop.net.

Ranking: 5
 
© DoubleSixZer0Se7en All Rights Reserved