Join Us On Facebook

Please Wait 30 Seconds...!!!Skip

Nazim Othman Ligat Di Bulan Puasa, Bakal Raya di Milan

Nazim Othman
Sesetengah artis mengambil kesempatan untuk merehatkan diri daripada sebarang aktiviti seni sepanjang bulan Ramadhan, lain pula ceritanya dengan pelakon kacak Nazim Othman. Nazim menjelaskan memang dia merancang untuk untuk bercuti pada mulanya, namun dia membatalkan hasratnya kerana tawaran rezeki yang mendatang.

“Saya tidak berehat pada bulan puasa ini. Pada mulanya, saya telah merancang untuk merehatkan diri, namun begitu apabila ada tawaran yang baik datang, saya mengambil peluang tersebut kerana menganggap tawaran itu sebagai rezeki di bulan Ramadhan,” kata Nazim ketika ditemui di Majlis Berbuka Puasa Anjuran TV9 di Kuala Lumpur Golf & Country Club.


“Saya baru sahaja menghabiskan penggambaran drama ‘Sangkar’ untuk TV9. Kini, saya sedang menjalani penggambaran untuk drama ‘Bisikan Azazil’ di samping Erra Fazira dan drama ‘Fenomena Cinta’ arahan Shuhaimi Lua. Selepas itu, saya akan pulang ke Johor untuk menyambut Syawal dan untuk cuti raya pun tidak lama kerana saya bakal ke Milan untuk menjalani penggambaran drama ‘Kalimah Jiwa’ arahan Erma Fatima bersama-sama Elfira Loy dan Erra Fazira,” jelas Nazim lagi.

Menceritakan mengenai rutin hariannya sepanjang bulan Ramadan ini, Nazim memberitahu yang kadangkala dia terlepas waktu sahur. 

“Biasalah, orang bujang. Kadangkala saya terlepas juga waktu sahur. Tapi jika saya bangun sahur, saya suka makan makanan ringkas sahaja. Untuk berbuka pula, saya lebih suka membeli juadah berbuka di bazar Ramadhan dan berbuka di rumah sahaja. Saya sukakan kemeriahan dan suasana di bazar Ramadhan,” ulas Nazim.

Mengulas mengenai perkembangan kerjayanya, Nazim menjelaskan dia amat bersyukur kerana kerjaya seninya mengalami perkembangan positif.

“Saya amat bersyukur kerana kini kerjaya seni saya berkembang dengan positif. Banyak tawaran dan peluang baru yang saya perolehi. Walaupun saya naik agak lambat, tetapi saya bersyukur kerana kini saya dalam kedudukan selesa. Namun begitu, saya tak boleh terlalu selesa kerana saya harus sentiasa mencari peluang baru untuk meningkatkan lagi perjalanan kerjaya saya,” tutur Nazim.

Saat ditanya mengapakah sehingga kini Nazim tidak berlakon dalam sebarang filem, Nazim ada penjelasan tersendiri mengenai perkara tersebut. 

“Saya sebenarnya cerewet dalam banyak perkara. Saya rasakan belum jodoh untuk saya berlakon filem lagi. Setakat ini, saya pernah mendapat lebih kurang 10 tawaran untuk filem, namun ada tawaran yang saya tolak dan ada juga tawaran yang saya mahukan tetapi tak berkesempatan kerana bercanggah dengan jadual lain. Buat masa sekarang, saya tak mahu terburu-buru untuk berlakon filem. Jika ada tawaran yang baik dan masa yang sesuai, saya akan menerima tawaran tersebut,” ujar Nazim mengakhiri perbualan.
sumber : http://www.gua.com.my/
Ranking: 5
 
© DoubleSixZer0Se7en All Rights Reserved